Ada orang melakukan senaman abdomen sehingga 200 kali sehari tetapi masih gagal mendapat bentuk abdomen yang cantik. Rokiah memberi anda penyelesaian terbaik.
ROKIAH menunjukkan teknik yang betul menggunakan peralatan abdominal.
INGIN dapatkan bahagian perut yang selalu dipanggil sebagai six pack? Kalau begitu, peralatan senaman abdominal seharusnya menjadi teman setia. Sebenarnya terdapat pelbagai jenis peralatan abdominal di pasaran dan pusat kecergasan daripada dalam posisi duduk sehinggalah berbaring.
Bagaimanapun, jurulatih peribadi California Fitness Mid Valley, Rokiah Mohammad Rashidi memilih peralatan abdominal jenis Yukon Ab Crunch.
Katanya, peralatan ini antara yang paling selesa dan efektif. Mesin ini digunakan dalam posisi duduk dengan terdapat pad berspan pada tempat duduk, bahagian belakang dan pad kaki. Selain untuk keselesaan, pad ini juga berperanan meminimumkan kecederaan.
"Berbanding peralatan lain antara ciri utama membezakan alat ini ialah tempat duduknya yang boleh dilaras agar sesuai digunakan oleh pelbagai individu. Selain itu, ia dilengkapi dengan beban boleh laras sehingga 90.7 kilogram untuk membolehkan peralatan ini berfungsi dengan lebih mencabar dan berkesan," katanya.
* Sebelum memulakan gerakan ambil posisi yang selesa semasa duduk. Letakkan pergelangan kaki di belakang pad sambil tangan memegang handal yang berada lebih tinggi daripada kepala anda. Jika tidak selesa rendahkan tempat duduk.
* Bagi yang baru menggunakan alat ini, tidak perlu menambahkan beban lagi. Tetapi bagi yang sudah biasa bolehlah melaraskan beban mengikut kesesuaian.
* Beban berfungsi untuk memberi lebih tekanan kepada abdomen. Dengan itu abdomen lebih mudah dan cepat dibentuk.
* Bila semua dalam keadaan baik, mulakan gerakan. Anda perlu menundukkan badan anda. Tetapi tidak perlu membongkokkan badan sampai habis ke bawah.
* Paling penting kata Rokiah, anda perlu tahu tekniknya. Cukup dengan 'mengerjakan' bahagian perut anda dengan sedikit gerakan. Elakkan daripada memaksa pergerakan itu dengan fokusnya pada tangan dan kaki.
* Cara yang betul dengan memastikan setiap kali pergerakan anda memfokus kepada bahagian abdomen. Ketatkan otot pada abdomen untuk mendapatkan keputusan yang baik.
* Tidak guna anda membuat 1,000 kali gerakan jika tekniknya salah. Sedangkan jika anda membuat segalanya dengan betul, 15 hingga 20 kali gerakan untuk tiga set sudah memadai.